Friday 31 July 2015

[Updated With Video] 70 Peniaga Rope Walk Lebuh Armenian Diarah Berpindah Oleh MBPP


Lebih 70 peniaga di pasar karat rope walk Lebuh Armenian, di sini, buntu apabila diarahkan berpindah dari tapak perniagaan mereka tanpa diberi pembelaan sewajarnya.

Pengerusi Bertindak Peniaga Lebuh Armenian, Yunoos Salleh berkata, mereka sudah berniaga di kawasan berkenaan sejak 20 tahun lalu dengan aman namun, hilang mata pencarian setelah diarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mahukan mereka mengosongkan tapak berkenaan sejak awal Julai lalu.

Menurutnya, mereka seolah-olah dipermainkan oleh MBPP apabila dipindahkan ke lokasi lain namun, ada dalam kalangan peniaga dikenakan tindakan penguatkuasa ketika berniaga di tempat baharu.

“Selama ini kami berniaga di kawasan lapang bersebelahan Pusat Kegiatan Belia MBPP di Lebuh Armenian dengan aman namun, dihalau tanpa sebarang perbincangan dan pembelaan.

“Pada mulanya kami tidak dibenarkan berniaga selama seminggu bermula 7 sehingga 14 Julai lalu namun, selepas itu apabila peniaga mahu memulakan kembali perniagaan, mereka dihalau penguatkuasa,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan aman, semalam.

Yunoos berkata, peniaga yang kebanyakan terdiri daripada golongan kurang berkemampuan ini akur dan berpindah ke Lebuh Clamant seperti diarahkan penguatkuasa.

Bagaimanapun mereka kesal apabila perniagaan mereka kembali diganggu penguatkuasa yang bertindak merampas barang-barang peniaga tanpa sebarang budi bicara.

“Kami hanya mahukan pembelaan sewajarnya dan mahu diberikan tapak perniagaan semula.

“Kami berhimpun bukan disebabkan isu politik tetapi isu masa depan peniaga di sini yang hilang sumber pendapatan disebabkan arahan pihak penguatkuasa," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di tapak pasar karat rope walk Lebuh Armenian, di sini, mendapati kawasan berkenaan ditutup dengan besi pengadang.

Difahamkan, kawasan itu bakal dimajukan sebagai taman landskap baharu yang akan menjadi antara kawasan tarikan bagi pelancong di Lebuh Armenian. ~SH

No comments:

Post a Comment